Penduduk negeri Kelantan Darul Naim yang ingin mendirikan rumah tangga, kini terdapat kemudahan untuk melengkapkan borang perkahwinan secara atas talian. Jika anda ingin tahu bagaimana untuk membuat permohonan ini, jangan risau. Di sini, kami akan berkongsi maklumat mengenai cara untuk melakukan permohonan berkahwin melalui sistem e-Qaryah.
Apa Itu Sistem E-Qaryah
e-Qaryah merupakan satu platform dalam talian yang telah dibangunkan oleh Bahagian Pentadbiran Undang-Undang Keluarga, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan.
Dengan kemajuan teknologi masa kini membolehkan penduduk Kelantan membuat urusan permohonan perkahwinan secara dalam talian melalui pembinaan portal e-Qaryah yang jelas lebih mudah berbanding kaedah konvensional. Sistem e-Qaryah ini berfungsi sebagai bank data penduduk Negeri Kelantan yang digunakan untuk pelbagai kegunaan.
Sistem e-Qaryah ini dibangunkan untuk memudahkan agensi kerajaan mengenal pasti semua anak mukim yang tinggal dan menetap di dalam mukim di Negeri Kelantan, serta mempermudah proses pengesahan status mereka.
Apakah Perkhidmatan e-Qaryah
Portal ini menawarkan 2 kemudahan utama seperti berikut:
- Pendaftaran Anak Mukim – Pengesahan anak mukim melalui sistem ini untuk mendapat kemudahan yang ditawarkan
- Permohonan Berkahwin – Permohonan berkahwin bagi Negeri Kelantan secara atas talian
- Semakan Pengesahan Status Anak mukim
- Semakan Status Permohonan Berkahwin
Cara Daftar Anak Mukim
Untuk mendaftarkan anak mukim, anda boleh ikuti langkah-langkah seperti berikut:
- Pada halaman utama, cari dan klik pada “Pendaftaran Anak Mukim”
- Masukkan nombor kad pengenalan
- Seterusnya, pilih borang pendaftaran (Ketua Keluarga / Ahli Keluarga)
- Sila masukkan nombor kad pengenalan anda untuk membuat semakan terlebih dahulu
- Jika nama anda belum terdapat dalam sistem, sila isikan semua butiran yang diminta untuk melengkapkan pendaftaran.
Cara Permohonan Berkahwin
Anda boleh membuat permohonan berkahwin melalui cara berikut:
- Pada halaman utama, klik pada “Permohonan Berkahwin”
- Sila baca dengan teliti semua prosedur yang disediakan dan lengkapkan dokumen sokongan yang telah disenaraikan.
- Klik butang “Teruskan” yang terletak di bahagian bawah halaman.
- Permohonan berkahwin perlu dilengkapkan dengan mengisi semua butiran yang diminta dan melampirkan semua dokumen sokongan yang telah disenaraikan.
Peraturan Am
- Pemohon lelaki sekurang-kurangnya 18 tahun dan pemohon perempuan 16 tahun. Pemohon yang berumur kurang dari umur yang ditetapkan hendaklah mengisi borang permohonan ini dan mendapatkan kebenaran bawah umur daripada Mahkamah Syariah.
- Borang permohonan boleh diisi seawal-awalnya 90 hari dari tarikh akad nikah atau selewat-lewatnya 7 hari bagi warganegara Malaysia dan 21 hari untuk warganegara asing sebelum tarikh akad nikah.
- Pemohon hendaklah seorang yang bermastautin di dalam negeri Kelantan (Kod 03 atau 29 di dalam kad pengenalan) atau beralamat Kelantan di dalam kad pengenalan.
- Permohonan yang dibuat secara online hanya akan diproses apabila pemohon melaksanakan proses-proses seperti di dalam tatacara permohonan berikut :-
- Pemohon hendaklah mengisi borang online dengan lengkap.
- Pemohon hendaklah mencetak borang yang telah lengkap diisi.
- Pemohon hendaklah mendapatkan pengesahan anak mukim daripada Penolong Pendaftar NCR/Imam Tua Masjid Mukim di dalam borang yang dicetak.
- Borang yang telah dicetak hendaklah dikemukakan oleh pemohon atau wakil (ahli keluarga sahaja). Pemohon perlu hadir ke Pejabat Agama Jajahan tempat akad nikah dijalankan (bagi permohonan berkahwin dalam negeri) ATAU jajahan tempat tinggal (bagi permohonan berkahwin ke luar negeri/negara) bersama-sama dokumen-dokumen yang perlu dilampirkan seperti berikut dengan 2 SALINAN:-
1 | Dua (2) salinan fotostat kad pengenalan pemohon, pasangan dan wali bagi perempuan jika warganegara Malaysia. |
2 | Dua (2) salinan fotostat passport pemohon, pasangan dan wali bagi perempuan jika bukan warganegara Malaysia. |
3 | Sijil Kursus Pra Perkahwinan yang ASAL dan dua (2) salinan fotostat. (Bagi yang memegang mana-mana sijil pengajian Islam dalam dan luar negeri, boleh memohon PENGECUALIAN kursus Pra Perkahwinan Islam). |
4 | Borang Ujian Saringan HIV (Klinik Kesihatan atau Hospital Kerajaan SAHAJA) dan dua (2) salinan fotostat. |
5 | Surat Perakuan Perceraian asal dan Dua (2) salinan fotostat jika pemohon duda atau janda. |
6 | Dua (2) salinan fotostat Sijil Kematian bagi pasangan duda atau balu dan SERTAKAN Surat Perakuan Nikah terdahulu dan Sijil Kelahiran Anak (Jika ada). |
7 | Salinan kenyataan memeluk Islam jika pemohon baru memeluk Islam dan dua (2) salinan fotostat. |
8 | Kelulusan daripada KAGAT/PDRM jika pemohon adalah anggota tentera/Polis dan dua (2) salinan fotostat. |
9 | Borang wakalah wali JIKA perempuan yang walinya mahu mewakilkan akad nikah dan dua (2) salinan fotostat. |
10 | Salinan Sijil Kematian jika WALI (bapa) meninggal dunia dan dua (2) salinan fotostat. |
11 | Surat kelulusan berkahwin daripada kedutaan dan Jabatan Imigresen bagi pemohon bukan warganegara dan dua (2) salinan fotostat. |
12 | Dua (2) salinan fotostat kad pengenalan dua (2) orang saksi akad nikah (bagi perkahwinan dalam negeri Kelantan sahaja). |
13 | Surat Pengecualian Kursus Praperkahwinan dari Pejabat Agama bagi had umur melebihi 50 tahun ke atas bagi lelaki dan 45 tahun ke atas bagi perempuan dan dua (2) salinan fotostat |
14 | Gambar dua (2) keping Lelaki (bersongkok) dan Perempuan (menutup aurat) berlatarbelakang warna BIRU bagi WARGANEGARA dan warna MERAH bagi BUKAN WARGANEGARA |
Cara Semak Status Permohonan Berkahwin
Berikut adalah cara-cara untuk membuat semakan status permohonan berkahwin secara online.
- Layari laman web https://eqaryah.kelantan.gov.my/
- Sila masukkan No.Kad Pengenalan Pemohon dan Pasangan
- Masukkan tarikh nikah
- Taipkan kod captcha yang telah disediakan ke dalam ruangan kosong
- Klik “Semak”
- Status permohonan akan dipaparkan