Dalam artikel kali ini, kami akan berkongsi beberapa tips yang berguna berkaitan contoh karangan syarahan yang dapat membantu para pelajar untuk dijadikan sebagai panduan dan rujukan sama ada untuk latihan harian atau peperiksaan sebenar.
Karangan Jenis Syarahan
- Karangan syarahan biasanya dibina berdasarkan satu tajuk tertentu dan dipersembahkan dengan cara dipertandingkan.
- Memberi ucapan salam dan menyebut nama-nama tetamu hadir yang dijemput khas (mengikut urutan betul berdasarkan statusnya ). Tujukan juga salam kepada pihak-pihak lain atau orang ramai yang menghadiri majlis berkenaan.
- Bahasa yang digunakan seharusnya mudah difahami, padat, tegas, dan memberikan kesan yang berkesan serta meyakinkan.
- Kandungan syarahan bergantung pada tajuk yang telah ditetapkan.
- Jika masalah dikemukakan, ia seharusnya diselesaikan oleh calon dan bukan dijadikan sebagai persoalan.
- kemukakan isi demi isi. Sebelum memaparkan isi , sebut ungkapan seumpama ‘tuan-tuan dan puan yang saya hormati ‘ tuan-tuan dan puan-puan sekalian, para hadirin yang saya muliakan…( tulis ungkapan penegasan ini dalam barisnya sendiri sebelum kita mengemukakan sesuatu isi ).
- Agar pendengar tidak merasa jemu, syarahan mestilah menarik.
- kata-kata hikmat, kiasan, jenaka atau peribahasa boleh diselitkan dalam syarahan supaya lebih menarik
- Mengakhiri syarahan dengan memohon maaf dan ucapan terima kasih
Contoh Karangan Syarahan
Contoh Karangan Syarahan Sekolah Menengah
Soalan 1 : Bertajuk “Mengisi Masa Lapang dengan Perkara Yang Berfaedah”
- Pengenalan : memberi kata-kata aluan dan ucapan terima kasih diucapkan
- Perenggan Kedua : Tajuk syarahan yang diberikan
- Perenggan Ketiga : Melibatkan diri secara aktif dalam kegiatan kokurikulum
- Perenggan Keempat : Membaca pelbagai bahan bacaan untuk isi masa lapang @ Aktiviti yang paling berfaedah
- Penutup : mengakhiri syarahan dengan ucapan terima kasih.
Yang mulia Tuan Pengerusi Majlis, Pengetua, guru-guru, rakan-rakan serta hadirin yang saya hormati sekalian. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih terlebih dahulu kerana diberi peluang untuk menyampaikan syarahan pada hari ini.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
Tajuk syarahan yang akan saya sampaikan pada hari ini ialah ‘Mengisi Masa Lapang dengan Perkara Yang Berfaedah’. Adalah penting bagi kita untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat. Masa lapang yang kita miliki seharusnya dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dan tidak sepatutnya dibazirkan begitu sahaja tanpa melakukan apa-apa aktiviti yang berguna.
Terdapat banyak cara yang boleh kita lakukan untuk mengisi masa lapang. Salah satunya ialah dengan terlibat dalam kegiatan kokurikulum. Dalam hal ini, kita dapat mempertahankan kecergasan tubuh badan serta meningkatkan pengalaman dan pengetahuan kita.
Selain itu, ada juga yang memilih aktiviti membaca untuk mengisi masa lapang yang ada. Pelbagai sumber bahan bacaan seperti majalah, surat khabar, buku sejarah dan sebagainya boleh diperolehi untuk dibaca. Aktiviti membaca dianggap sebagai aktiviti yang paling berfaedah dan memberikan manfaat dalam mengisi masa terluang.
Sekian sahaja syarahan saya untuk kali ini. Terima kasih saya ucapkan kepada semua hadirin dan saya sudahi syarahan saya dengan lafaz assalamualaikum.
Contoh Karangan Syarahan Sekolah Rendah
Selamat pagi saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, Tuan Guru Besar, guru-guru penolong kanan, guru-guru serta rakan-rakan yang saya hormati. Pada perhimpunan kali ini, saya ingin menyampaikan syarahan yang bertajuk ‘Kebersihan Sekolah Tanggungjawab Bersama’.
Hadirin yang saya kasihi sekalian,
Untuk mencipta suasana pengajaran dan pembelajaran yang efisien, kebersihan sekolah seharusnya diutamakan. Selain itu, kebersihan juga membantu mencipta suasana yang selesa dan memberi imej yang baik kepada sekolah. Dengan begitu, sekolah boleh menjadi contoh yang baik dalam menjaga kebersihan dan keindahan kawasan sekolah.
Untuk mencapai impian tersebut, setiap murid perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Murid tidak boleh lepas tangan, contohnya mereka tidak boleh membuang sampah di merata-rata tempat. Dengan cara ini ianya dapat memastikan sekolah kekal bersih.
Guru-guru dan rakan-rakan,
Untuk memastikan kebersihan sekolah terjamin, pentadbiran sekolah juga harus merancang pelbagai program pendidikan untuk murid. Selain itu, kehadiran tenaga kerja yang bertanggungjawab terhadap kebersihan sekolah juga amat diperlukan agar sistem pengurusan yang teratur dan tersusun dapat diwujudkan.
Setakat ini sahaja syarahan saya pada kali ini. Saya akhiri syarahan saya dengan ucapan terima kasih.
Kami harap dengan perkongsian yang kami sampaikan ini dapat memberikan sedikit bantuan kepada anda dalam menyusun karangan penulisan syarahan yang berkualiti dan bermutu.