Permohonan Passport Secara Online

Setelah fasa peralihan ke endemik diumumkan oleh negara, ramai warga Malaysia sudah keluar dari Malaysia untuk bercuti mahupun untuk hal kerja. Oleh itu, sistem MyIMMS telah diperkenalkan oleh Imigresen Malaysia. Ini bagi mengurangkan kesesakan di pejabat Jabatan Imigresen Malaysia dan memudahkan urusan orang ramai.

Sistem MyIMMs telah dilancarkan pada 1 September 2016 dan kini telah ditingkatkan dengan pelbagai perkhidmatan lain seperti MyOnline Foreign Maid/Foreign Worker untuk pekerja asing dan MyOnline Permit. Perlu diingatkan bahawa perkhidmatan dalam talian ini hanya terhad kepada permohonan pembaharuan passport bagi individu yang berusia antara 13 hingga 59 tahun sahaja.

Permohonan Passport Online

Di bawah ini terdapat maklumat mengenai cara pembaharuan passport Malaysia secara dalam talian (renew) melalui Portal MyIMMS e-Services Imigresen Malaysia untuk panduan semua. Passport antarabangsa Malaysia mempunyai tempoh sah selama lima tahun, dan pengguna disarankan untuk memperbaharui passport sekurang-kurangnya enam bulan sebelum tamat tempoh sah laku sekiranya ingin melancong ke luar negara.

Pembaharuan passport biasa boleh dilakukan secara dalam talian, manakala perkhidmatan Walk In di kaunter hanya dibuka untuk kategori-kategori berikut:

  1. Permohonan kali pertama.
  2. Permohonan pelanjutan kanak-kanak 13 tahun dan ke bawah.
  3. Passport hilang atau rosak.
  4. Warga emas (60 tahun dan ke atas).
  5. OKU.
  6. Pelajar berumur 21 tahun dan ke bawah menyambung pelajaran peringkat Ijazah di luar negara.
  7. Jemaah haji.

Untuk permohonan passport secara online, anda boleh ikuti cara-cara seperti berikut:

  1. Layari laman web MyOnline Passport
  2. Baca setiap terma dan syarat
  3. Jika anda bersetuju dengan semua syarat yang disenaraikan, sila klik butang ‘Setuju’
  4. Isikan maklumat yang diperlukan
  5. Seterusnya, pemohon perlu memuat naik gambar bersaiz passport
  6. Kemudian, buat pembayaran menggunakan FPX, Kad Kredit atau Kad Debit
    • Kadar bayaran adalah seperti berikut :
      • Permohonan Biasa 13 – 59 tahun: RM 200
      • Warga Emas (60 tahun keatas): RM100
  7. Simpan resit pembayaran sebagai bukti
  8. Pemohon diingatkan untuk hadir ke pejabat pungutan pada waktu yang telah ditetapkan serta membawa resit bayaran, kad pengenalan, dan passport asal.

Semakan Status Permohonan

Setelah permohonan dibuat, pemohon akan menerima notifikasi melalui emel mengenai status permohonan masing-masing dalam tempoh 3 hari bekerja. Selain itu, pemohon juga boleh melakukan semakan secara dalam talian melalui :

  1. Pautan https://www.irujukan.my/
  2. Sila lengkapkan maklumat yang diminta dan klik butang “Carian” untuk meneruskan.
  3. Status permohonan akan dipaparkan

Leave a Comment