Satu sistem yang dinamakan sistem eMaklum telah diwujudkan di bawah penyeliaan Jabatan Akauntan Negara Malaysia.
Sistem eMaklum berfungsi untuk menyemak dan menghantar maklumat tentang status invois dan bayaran kepada penerima bayaran iaitu merangkumi individu, pembekal termasuk penjawat awam. Dengan adanya sistem ini, pihak yang terlibat dapat memantau status pembayaran dan invois dengan lebih mudah dan pantas.
Yang menariknya, fungsi-fungsi dalam sistem ini anda boleh gunakan secara terus tanpa memerlukan pendaftaran oleh pembekal atau individu.
Semakan Notifikasi eMaklum
Pengguna eMaklum mempunyai pilihan untuk menerima notifikasi perubahan status dokumen melalui salah satu daripada cara berikut :
- SMS: Notifikasi SMS secara automatik bagi setiap perubahan status dokumen iGFMAS anda.
- Emel: Notifikasi emel secara automatik bagi setiap perubahan status dokumen iGFMAS anda.
- Cetakan: Notifikasi surat bercetak menerusi kiriman pos bagi setiap perubahan status dokumen iGFMAS anda.
Tempoh Simpanan Maklumat Notifikasi Bayaran eMaklum
Maklumat notifikasi pembayaran hanya disimpan dalam sistem eMaklum untuk tempoh 18 bulan terkini bermula dari 30 Julai 2021, dan akan dikeluarkan secara automatik dari sistem setelah tamat tempoh tersebut.
Adalah menjadi tanggungjawab anda untuk memuat turun maklumat tersebut untuk tujuan kegunaan pada masa hadapan.
Apakah Jenis Status Notifikasi Bayaran
- Dihantar ke Bank = Maklumat bayaran EFT telah dihantar ke bank.
- Diterima oleh Bank = Maklumat bayaran EFT telah berjaya diterima oleh bank dan proses bayaran mengambil masa selewat-lewatnya 3 hari waktu bekerja.
- Gagal diproses Bank = Maklumat bayaran EFT gagal diproses
- Dikeluarkan = status bayaran bagi non-EFT iaitu cek/draf bank/pindahan wang (Telegraphic Transfer)
- Dibatalkan= Maklumat invois dibatalkan.
Bagaimana Cara Menggunakan eMaklum ?
Berikut adalah perkara yang perlu dilakukan oleh pengguna:
- Pengguna perlu memuat turun aplikasi play.google.com/store/ atau boleh layari laman web eMaklum
- Isi No. Kad Pengenalan jika anda mewakili Individu atau No. Daftar Syarikat/Organisasi jika anda mewakili pihak Pembekal.
- Isi No. Akaun Bank/No. Rujukan Bayaran/No. Invois di medan kedua.
- Seterusnya pengguna boleh memilih carian berdasarkan tiga perkara ini:
- No. Akaun Bank
- No. Rujukan Bayaran
- No. Invois
- Akhir sekali anda boleh meletakkan tarikh invois yang diberikan pembekal.