Baru-baru ini, pengumuman telah dibuat oleh kerajaan mengenai bantuan e-Tunai sebanyak RM100 kepada semua warga dewasa di negara ini yang mempunyai pendapatan tahunan tidak melebihi RM100,000. Pengumuman ini telah dibuat semasa Majlis Pelancaran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat di Suruhanjaya Sekuriti, Bukit Kiara pada 27 Julai 2023.
Bantuan ini dianggarkan akan diberikan kepada lebih daripada 10 juta penerima yang layak, yang berusia 21 tahun ke atas, merangkumi golongan B40 dan M40, dengan dana sejumlah kira-kira RM1 bilion.
Inisiatif untuk memberikan kredit e-Tunai kepada golongan dewasa ini telah diumumkan setelah melihat kesan positif dan kejayaan daripada program e-Tunai sebelum ini terhadap masyarakat.
Syarat Penerima e-Tunai
Antara syarat-syarat yang perlu anda ketahui untuk penerima e-Tunai adalah seperti berikut:
- Merupakan warganegara Malaysia
- Berumur 21 tahun ke atas
- Pendapatan tidak melebihi dari RM100,000 setahun
Tarikh Pembayaran Bantuan e-Tunai RM100
Pengumuman telah dibuat oleh kerajaan bahawa pembayaran bantuan e-Tunai sebanyak RM100 ini akan mula diberikan pada suku ke-empat tahun 2023.
Apa maksud suku keempat ?
Suku tahunan merupakan kuartal suku (seperempat) tahun iaitu jangka waktu tiga bulan:
- Suku Pertama – Januari hingga Mac
- Suku Kedua – April hingga Jun
- Suku Ketiga – Julai hingga September
- Suku Keempat – Oktober hingga Disember
Dengan itu, berdasarkan pengumuman Kementerian Kewangan mengenai pelaksanaan program ini pada suku keempat, kita kini boleh merancang bahawa bayaran akan dilaksanakan antara bulan Oktober hingga Disember.
Permohonan e-Tunai RM100
Sehingga kini, tiada maklumat lanjut mengenai cara pemberian bantuan RM100 e-Tunai ini. Adakah perlu mengemukakan permohonan atau kerajaan akan menggunakan data daripada kementerian lain seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri?
Kelebihan Bantuan e-Tunai RM100
Melalui bantuan e-Tunai sebanyak RM100 ini, dapat memberi peluang kepada golongan B40 dan M40 untuk belajar dan memahami bagaimana cara menggunakan e-wallet dan ekonomi digital. Tambahan pula, program ini turut membantu rakyat mengurangkan penggunaan wang tunai dan mendorong pembayaran tanpa perlu menyentuh.
Dengan adanya program ini, rakyat turut diberikan kemudahan untuk membeli barangan atau perkhidmatan dalam talian dengan lebih mudah dan pantas. Ini turut memberikan sumbangan kepada peningkatan daya saing golongan belia dalam era ekonomi digital.